Semasa

Hasil Mesyuarat MPT Semalam, Inilah pemangku Pengerusi BERSATU yang sah

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), malam tadi membuat keputusan mengiktiraf Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemangku Pengerusi parti yang sah.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata keputusan MPT itu dibuat selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan itu pada 24 Februari lalu.

“MPT menyokong dan memberikan mandat penuh terhadap kepemimpinan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas dilantik Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, MPT turut mengesahkan keahlian Dr Mahathir dan empat Ahli Parlimen dalam parti terhenti serta-merta berdasarkan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan BERSATU.

Empat lagi Ahli Parlimen itu adalah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Untuk rekod, Dr Mahathir sebelum ini mendakwa mesyuarat MPT pada hari tersebut tidak pernah memuktamadkan keputusan itu. Anggota MPT A Kadir Jasin, yang menyokong Dr Mahathir, juga mendakwa sedemikian.

Keputusan untuk membawa Bersatu keluar daripada PH oleh presiden parti, Muhyiddin Yassin, yang ditentang Mahathir dan penyokongnya, telah mencetuskan rantaian peristiwa yang berakhir dengan kejatuhan kerajaan PH setelah tidak sampai dua tahun memerintah.

Ia juga menyebabkan konflik dalaman Bersatu menjelang pemilihan parti itu.

Mesyuarat semalam dipengerusikan presiden Muhyiddin Yassin di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM). Ia berakhir kira-kira pukul 11.40 malam, dan Muhyiddin enggan bertemu media yang telah menunggu sejak sebelum mesyuarat bermula.

Abu Bakar, Akramsyah dan Ulya Husamudin
Beberapa anggota MPT Bersatu yang diketahui berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad pula meninggalkan mesyuarat lebih awal, iaitu kira-kira pukul 10.45 malam, apanbila tidak berpuas hati dengan beberapa isu dibangkitkan.

Mereka ialah ialah Abu Bakar Yahya, Akramsyah Sanusi, Tariq Ismail dan Ulya Husamudin yang juga ketua penerangan Armada.

Dalam mesyuarat semalam, MPT Bersatu turut mengesahkan beberapa langkah dan keputusan yang dibuat parti itu sebelum ini, seperti pelantikan Muhyiddin selaku pemangku pengerusi, dan penyingkiran Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung.

Berkenaan kedudukan Muhyiddin sebagai pemangku, Hamzah berkata ia selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan parti setelah peletakan jawatan oleh Dr Mahathir pada 24 Februari lalu.

“MPT menyokong dan memberi mandat penuh terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berlandaskan perlembagaan,” katanya lagi.

Begitu juga dengan pelantikannya menggantikan Marzuki, yang menurut Hamzah “sah dan teratur” mengikut perlembagaan susulan MPT sebelum ini telah mengesahkan pemberhentian keahlian Marzuki.

Sementara itu, Hamzah berkata MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah setiausaha kerja yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatanganinya terpakai secara rasmi.

Suhaimi sebelum ini merupakan penandatangan surat makluman pemberhentian keahlian terhadap Mahathir dan empat yang lain, yang bertarikh 28 Mei.

Bagaimanapun mereka mempertikaikan penyingkiran itu dan menyifatkannya tidak sah, antara lain mempersoalkan kuasa setiausaha kerja.
Menurut Mahathir, jawatan itu tiada dalam perlembagaan parti dan tidak mempunyai apa-apa kuasa pun berdasarkan perlembagaan parti

Sumber : MB

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *