Semasa

Berita Gembira Untuk ‘Tukang Gunting Rambut’ – Ini Respon Ismail Sabri Terbaru

KUALA LUMPUR: Orang bujang berkemungkinan dibenarkan merentas negeri mulai minggu depan, bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata golongan bujang perlu bersabar menunggu pengumuman Perdana Menteri.

“Untuk orang bujang, saya difahamkan esok Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu, maka kita tunggu.

“Saya takut kalau saya umumkan nanti berbeza atau lebih awal daripada Perdana Menteri. Tentu saja banyak perkara akan disebut esok, kita tunggu.

“Kalau tak sebut, baru saya sebut untuk orang bujang (kebenaran rentas negeri). Maka, bersabarlah hingga esok” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau juga mengumumkan kebenaran operasi bagi kedai gunting rambut dan pasar pagi serta pasar malam mengikut SOP yang ketat bermula minggu hadapan.

Kedai Gunting Rambut Dibenarkan Operasi Bermula 10 Jun Ini

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan perkhidmatan gunting serta dandan rambut beroperasi semula bermula 10 Jun ini dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri yang berlangsung, pada Sabtu.

Katanya, kerajaan membuat keputusan itu setelah mengambil kira sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berjumlah RM13.5 bilion setahun, selain sektor tersebut  melibatkan 74,500 tenaga kerja daripada 16,728 perniagaan yang berdaftar.

“Aktiviti yang dibenarkan termasuk gunting rambut asas, cuci rambut asas, cukur jambang dan misai, solekan dan rawatan
rambut, manicure dan pedicure serta cuci dan rawatan muka.

“Bagi golongan yang berisiko iaitu individu yang berusia 60 tahun ke atas, proses guntingan adalah diwajibkan secara temu janji tanpa kehadiran pengunjung daripada kumpulan umur lain.

“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, ibu bapa dibenarkan hadir bersama tetapi perlu mematuhi pemakaian alat pelindung diri seperti pelitup muka dan apron pakai buang,” katanya dalam sidang media harian di sini pada Sabtu.

Selain itu katanya, pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi.

Jelas Ismail Sabri, SOP ditetapkan juga memerlukan pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan.

Katanya, pengusaha juga perlu memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.

Sumber : utusan rimbabara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *