Semasa

‘Terima Kasih Akui Bantuan Elektrik Daripada KWIE’ Tapi Yeo Kata Najib Tak Tahu Mengira

PETALING JAYA: Selepas berbalas kenyataan, bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim, Yeo Bee Yin mengucapkan terima kasih kepada Najib Razak kerana mengakui bahawa dana bantuan elektrik yang diumumkan semalam datangnya daripada tabung Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Beliau bagaimanapun berkata, Najib masih tidak faham mengenai mekanisme Kos Pelepasan Tidak Seimbang (ICPT) dan mendakwa bekas perdana menteri itu tidak tahu mengira.

“Sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH), harga bahan api adalah lebih tinggi daripada harga asas yang digunakan untuk pengiraan ICPT RP2 (Imbalance-cost-past-through regulatory period 2), (dan) KWIE digunakan supaya tiada kenaikan tarif untuk pengguna domestik.

“Setiap kali dalam pengumuman kami, kami jujur dan menyebut sumber dana adalah daripada KWIE kerana semua ini adalah sumbangan daripada pengguna-penguna elektrik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Beriya iya tuntut kredit, kata Yeo

Najib sebelum ini membalas kenyataan Yeo yang menyebut bahawa Umno tidak patut menuntut jasa atas pemberian diskaun kepada pengguna elektrik.

Semalam, ketika mencadangkan pengguna diberikan rebat daripada penjimatan kos bahan api, Yeo berkata, ia boleh dibiayai daripada dana KWIE.

Dalam pada itu, Yeo terkilan apabila Najib “beriya-iya menuntut kredit” bagi pihak menteri Umno apabila dana KWIE digunakan untuk memberi bantuan.

Katanya, walaupun harga arang batu menurun hujung tahun lepas, namun ia masih lebih tinggi daripada harga asas.

“Kami menurunkan surcaj yang perlu dibayar oleh pengguna komersial dan industri dari 2.55 sen ke 2 sen untuk tempoh Jan-Jun 2020 (surcaj atau rebat ditentukan setiap 6 bulan berdasarkan harga bahan api 6 bulan yang lalu).

“Dianggarkan terdapat sejumlah RM 594 juta surcaj pengguna komersial dan industri yang disumbangkan kepada KWIE bagi tempoh Jan-Jun 2020.

“Dana KWIE ditingkatkan supaya boleh digunakan untuk menampung beban pengguna elektrik apabila berlaku krisis serta (boleh) menstabilkan tarif elektrik,” katanya.

Yeo berkata memandangkan keadaan ekonomi kini sangat mencabar, pengguna komersial dan industri sebenarnya mempunyai “simpanan” di KWIE.

Katanya, pengguna komersial dan industri sepatutnya turut mendapat bantuan bil elektrik.

Gesa kerajaan turun tarif elektrik

“Soalnya di manakah dana ini kini. Kalau Najib masih tak faham, saya sedia membantu,” katanya.

Ini berikutan pengumuman kerajaan bahawa 4 juta pengguna domestik dengan bil bulanan di bawah RM77 atau tidak melebihi 300kWj akan menikmati bekalan percuma selama 3 bulan mulai April lalu.

Seramai 3.6 juta pengguna yang menggunakan lebih 300kWj elektrik pula akan mendapat potongan RM77 sebulan dalam bil mereka mulai April hingga bulan ini.

Ia adalah sebahagian daripada Bantuan Prihatin Elektrik tambahan yang mula dilaksanakan sejak 1 April lalu untuk mengurangkan beban kewangan rakyat susulan kenaikan bil elektrik sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ia dibiayai dengan menggunakan dana KWIE.

Semalam, Najib menggesa kerajaan menurunkan tarif elektrik susulan kejatuhan harga arang batu dan minyak.

Dah baca, jangan lupa komen yang baik baik dan Share!

Sumber : FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *