Hiburan

Single terbaharu Tewas, Farahdhiya pilih berkolaborasi dengan penyanyi Korea?

Penyanyi dan pelakon sensasi, Farahdhiya, 37, memilih untuk berkolaborasi dengan artis kelahiran Korea, DL menerusi single terbaharu berjudul Tewas.

Wanita kelahiran Sarzana, Itali itu berkata, dia memang menantikan kehadiran single baharu. Kali terakhir merakamkan single Tegar yang juga lagu runut bunyi drama Dendam Cinta Arissa, tahun lalu.

“Apa yang unik mengenai single Tewas ini adalah liriknya mempunyai tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea. Bagaimanapun, rakaman dibuat secara berasingan.

“Memandangkan bahasa Korea agak asing buat saya, saya perlu memastikan sebutan yang betul. Untuk itu, saya berguru dengan DL sebelum rakaman menerusi panggilan video.

“Alhamdulillah, rakaman berjalan lancar dan kami masih menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkan single Tewas ini,” katanya kepada BH Online.

Berkongsi bagaimana tercetusnya kolaborasi, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati itu berkata, segala urusan dibuat oleh syarikat label, COF Music yang menerbitkan single Tewas.

“Saya dan DL belum pernah bertemu, memandangkan rakaman dibuat secara berasingan. Saya dimaklumkan, DL menetap di Kuala Lumpur berikutan bapanya bertugas di sini.

“Saya terima tawaran ini kerana tertarik dengan melodi lagu yang agak berbeza dengan genre saya sebelum ini. Selain berentak rancak, ia juga mempunyai elemen Timur Tengah.

“Mengikut perancangan, COF Music mahu membawa single Tewas ke pasaran Korea. Ia tentunya sesuatu yang baik untuk perkembangan kerjaya nyanyian,” ujarnya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Kami
Sumber:BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *